Thursday, 27 March 2014

Pertandingan Lagu Lagu Dakwah 2014

Pada 1hb Mac 2014, Persatuan BruManch, sekali lagi, telah mengadakan satu acara terbesar BruManch yang diadakan secara tahunan iaitu Pertandingan Lagu Lagu Dakwah. Acara ini diadakan buat kali ke-empat yang dianjurkan bersempena dengan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-30. PLD'14  diadakan di Great Hall, Sackville Street Building, The University of Manchester, yang ditaja oleh Unit-Unit Penuntut dan DST (sebagai penaja Diamond) dan disokong oleh Brunei Students’ Union.

Acara pada hari itu dimulakan dengan bacaan doa pembukaan bagi memberkati majlis oleh Muhammad Khairol Azamain Norzelan, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Selepas itu, diikuti pula dengan menjemput Awangku Muhammad Adibul Amin Pengiran Haji Marjuki untuk membaca potongan ayat suci Al-Quran surah Al-Baqarah dari ayat 265 hingga 269.

Presiden Persatuan BruManch, Khairiyah Al-Hasnaa, dijemput untuk memberi sepatah dua kata alu-aluan dimana beliau menerangkan tentang objektif mengadakan pertandingan ini adalah untuk menyebarkan dakwah melalui nyanyian dan disamping itu juga untuk merapatkan silaturahim dan ukhuwah sesama penuntut-penuntut yang sedang menuntut di seluruh United Kingdom.

Dari kiri ke kanan: Muhammad Khairol Azamain Norzelan; Awangku Muhammad Adibul Amin Pengiran Haji Marjuki; Khairiyah Al-Hasnaa

Tetamu Kehormat Majlis, Pengiran Hajah Rooslina Weti Pengiran Haji Kamaludin, juga tidak terkecuali untuk menyampaikan sepatah dua kata dimana beliau menyatakan banyak cabaran dan kerumitan yang telah dilalui oleh Persatuan BruManch dalam menjayakan Pertandingan Lagu-Lagu Dakwah ini dan beliau berharap inisiatif seperti ini akan berlanjutan. Beliau juga ada memetik titah yang disampaikan oleh Kebawah Duli sempena acara junjung ziarah pada 29hb Disember 2013 lalu. Dalam titah Kebawah Duli itu ada menyatakan bahawa semua penuntut-penuntut hendaklah tidak memfokuskan diri pada ilmu akademik sahaja tapi juga untuk tidak melupakan asal usul mereka.

Tetamu Kehormat Majlis: Pengiran Hajah Rooslina Weti Pengiran Haji Kamaludin

Buat pertama kalinya juga, Persatuan BruManch telah mengadakan “PLD’14 Giveaway Contest” dan “Instavid Contest” bertemakan ‘Islamic Musical’ yang dibuka untuk orang awam samaada yang berada di UK mahupun di Brunei dengan objektif untuk berkongsi mesej yang bermanfaat melalui laman sesawang seperti Instagram dan Facebook. Melalui acara ini juga, Persatuan BruManch telah berjaya mengutip derma sebanyak GBP217 untuk disalurkan kepada Brunei Darussalam National Association of the Blind (BDNAB) dan Zaimah Charity (salah satu tabung amal kebajikan yang terdapat di United Kingdom).

Di akhir acara, Shajarah Toyyibah iatu kumpulan dari Sheffield telah berjaya membawa pulang wang GBP350.00 dan trofi kerana mendapat tempat pertama bagi Kategori Lelaki dan juga Juara Keseluruhan manakala bagi Kategori Perempuan pula, kumpulan yang diberi nama ‘Alimatuzzahrah dari Southampton telah berjaya mendapat tempat pertama. Kumpulan dari Leicester, Loughborough dan Leeds juga ikut bertanding dalam Pertandingan ini.

Pemenang bagi katogeri Perempuan ('Alimatuzzahrah) dan kategori Lelaki (Shajarah Toyyibah)


Sebelum acara bersurai, Ustaz Hj Sammali bin Hj Adam, sebagai ketua hakim, telah dijemput untuk memberi sedikit ulasan mengenai persembahan secara keseluruhan. Beliau menyatakan bahawa banyak peningkatan dapat dilihat dari tahun ke tahun dan berharap akan banyak lagi penuntut-penuntut Brunei yang belajar di United Kingdom akan ikut serta dalam pertandingan ini di tahun yang akan datang. Pertandingan Lagu-Lagu Dakwah diakhiri dengan sesi fotografi dan menikmati jamuan. 

Peserta - peserta Pertandingan Lagu Lagu Dakwah bergambar beramai - ramai dengan Tetamu Kehormat Majlis (kiri); Pengiran Hajah Rooslina Weti Pengiran Haji Kamaludin dan Presiden BruManch (kanan), Khairiyah Al-Hasnaa Hassan

 Sesi gambar beramai dengan Tetamu Kehormat Majlis, pegawai - pegawai Unit Penuntut-Penuntut, para panel Hakim, peserta - peserta PLD dan ahli-ahli jawatankuasa. 

Ahli-ahli Jawatankuasa yang bertungkus lumus menjayakan majlis pada hari itu

Photos by: Abdul Halim Daud

No comments: